Followers

Friday, May 7, 2010

Panas!!! - Mesyuarat Agung Muafakat 6 Mei 2010

Pada hari khamis, 6 Mei 2010 yang lalu, telah diadakan Mesyuarat Agung Muafakat yang berlangsung di Dewan MRSM Kuala Lipis. Mesyuarat yang telah dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Mohd Soffi ini walaubagaimanapun menerima kehadiran ibu bapa yang tidak begitu memberangsangkan. Ini diakui sendiri oleh pengetua, Tuan Haji Alias Muda melalui ucapannya yang kononnya terkejut dengan keadaan tersebut. Saya secara peribadi berpendapat, hari khamis tersebut bukanlah hari yang sesuai untuk menerima sambutan hebat daripada ibu bapa memandangkan hari tersebut bukanlah hari cuti umum. Namun, pengurusan maktab lebih bijaksana tentang hal ini terutama dalam menentukan hari yang sesuai (mungkin sengaja tak nak orang datang).

Banyak perkara yang dibincangkan melibatkan masalah pelajar seperti masalah air, makanan, pusat sumber dan lain-lain. Pihak maktab telah memberikan jawapan yang mungkin dapat memuaskan hati ibu bapa seperti masalah ketiadaan air di mana jawapannya ialah pihak maktab telah melakukan pelbagai usaha sehingga tidak tahu apa lagi yang hendak dilakukan. Antara usaha yang dilakukan ialah menyediakan tong air di setiap aras, tetapi masalah lain timbul apabila tiada siapa yang mengisinya semula apabila tong itu kosong. Masalah ini begitu besar nampaknya tetapi saya berharap agar pengurusan maktab yang diterajui oleh seorang pengetua yang bijaksana tidak berputus asa dalam menangani masalah ini.

Saya di sini turut menyertakan laporan kewangan badan Muafakat berakhir 31 Disember 2009 untuk sama-sama diteliti terutama ibu bapa yang tidak dapat menghadiri mesyuarat tersebut. Saya yang tidak begitu pandai dalam akaun ini terpaksa mengira sendiri berapakah jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan memandangkan tidak dinyatakan jumlahnya dalam laporan tersebut. Jika tidak silap(maaflah, tidak pandai akaun) sebanyak RM 19,170.20 telah dibelanjakan daripada pendapatan yang diterima sebanyak RM 29,496. Baki yang tinggal ialah RM 10,325.80. Tidak banyak perbelanjaan yang melibatkan jumlah yang besar kecuali perbelanjaan Mesyuarat Agung Muafakat yang menelan belanja sebanyak RM 10,061.20. Tidak ada butiran yang jelas dan munasabah bagaimana wang sebanyak RM 10,061.20 itu dibelanjakan. Selain itu saya juga tertanya-tanya kenapa menggunakan duit Muafakat untuk pembelian piala PGG SPM & PMR sebanyak RM 1440 sedangkan PGG ini sudah ada dananya sendiri.

Alhamdulillah kerana mesyuarat kali ini memutuskan supaya dana yang dikutip seperti yuran PGG dan yuran kelas mengaji al-Quran dipindahkan dari akaun Koperasi Maktab ke akaun Muafakat. Saya amat bersetuju dengan keputusan ini kerana Koperasi adalah sebuah organisasi untuk mencari keuntungan sedangkan wang tersebut sepatutnya dibelanjakan untuk kepentingan pelajar dan bukannya untuk tujuan pelaburan. Saya berharap dana yang dikutip itu dibelanjakan secara telus dan butirannya diperincikan. Adakah lagi wang dana lain yang disimpan oleh koperasi? Harap pindahkan ke tempat yang sepatutnya.

Di dalam ucapan penangguhan yang disampaikan oleh Pengetua, beliau menasihatkan ibu bapa agar tidak percaya sepenuhnya apa yang dilaporkan oleh anak-anak kita. Secara peribadi saya berpendapat ianya adalah satu penghinaan terhadap cara kita mendidik anak-anak kita. Dan anak-anak kita ini juga adalah pelajar Maktab ini. Apakah yang telah diajar kepada anak-anak kita sehingga tuan pengetua menasihatkan kita agar tidak terlalu percaya kepada anak kita sendiri? Saya boleh bayangkan bagaimana reaksi beliau bila anak-anak kita mengadu hal kepada beliau.

Melalui pengalaman saya menghadiri mesyuarat Muafakat dan PIBG, inilah pengalaman terburuk saya terutama sekali apabila melihat buku program yang diedarkan. Saya berasa malu bila membandingkan isi kandungan buku ini dengan buku sekolah-sekolah lain yang saya hadiri. Inikah standard sebuah MRSM?
1. Laporan kewangan yang tidak lengkap dan butirannya tidak terperinci.
2. Tiada laporan pengesahan daripada Pemeriksa Kira-kira.
3. Tiada laporan prestasi PMR dan SPM/perbandingan 2008 dan 2009.
4. Tiada laporan tentang tindakan yang telah diambil terhadap usul yang dicadangkan sebelum ini.

Diharap mesyuarat Muafakat yang akan datang adalah lebih baik dan ibu bapa dapat bersama-sama menghadirinya demi kebaikan anak-anak kita. Insya Allah.

P/S: Saya tercari-cari Pajero misteri itu tetapi tidak kelihatan. Mungkin digunakan untuk mengangkut ibu bapa dari stesen bas/keretapi ke maktab. Tetapi habis mesyuarat pun tak nampak..

LAPORAN KEWANGAN BADAN MUAFAKAT

LAPORAN KEWANGAN BADAN MUAFAKAT MRSM KUALA LIPIS BERAKHIR 31 DISEMBER 2009

TARIKH

PENDAPATAN

JUMLAH

TARIKH

PERBELANJAAN

JUMLAH

JAN

Baki pada 2008

11468

FEB

Sumbangan untuk Majlis Asyura

300

Yuran pelajar 2009

8800

Pembelian Piala PGG SPM&PMR

1440

Pembelian Kamus B.Inggeris & Thesaurus

1050

APRIL

Yuran pelajar baru

7520

Hadiah Pelajar Cemerlang Peperiksaan Sem 2, 2008

60

MEI

Yuran pelajar

360

MAC

Sumbangan untuk Pengurusan Kelas

300

Sumbangan ibu bapa

668

APRIL

Jamuan AJK Muafakat

40

JULAI

Yuran pelajar baru

680

MEI

Hadiah Homeroom Cemerlang

150

Pembelian tabung derma Muafakat

70

Sumbangan Sempena Hari Guru Peringkat PPD Lipis

200

Perbelanjaan Mesyuarat Agung Muafakat

10061.20

JUN

Pertandingan Kebersihan Asrama

2160

JULAI

Sumbangan untuk Pertandingan Bola Sepak

250

OGOS

Sumbangan untuk jamuan Konferensi

136

Yuran untuk mesyuarat kebangsaan Muafakat

553

OKT

Sumbangan untuk Hari Keluarga

1000

NOV

Yuran ahli Muafakat Kebangsaan

1400

Baki

10325.80

Jumlah

29496

Jumlah

29496